Perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, dikejutkan pemain dari Jepun, Kenta Nishimoto, dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini.

Chong Wei terpaksa menelan perit tewas di laman sendiri apabila dijinakkan Nishimoto 21-19, 18-21, 19-21, sekali gus tersingkir daripada kejohanan itu.

Beban kini terletak kepada pemain muda, Lee Zii Jia, dan pemain profesional, Liew Daren, yang meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.

Daren mengejutkan pemain dari Korea Selatan yang juga pilihan keempat kejohanan, Son Wan-Ho, 21-15, 21-13, sementara Daren menumpaskan pemain Denmark, Emil Holst, 21-12, 21-18.

"Selepas Siri Super Dubai saya perlu bercuti dan perlu meluangkan masa bersama keluarga. Tiada masalah, saya perlu bersiap untuk menghadapi pertandingan akan datang," kata Chong Wei.

Nasib sama turut menimpa jaguh dari China, Lin Dan, yang tewas kepada pemain Indonesia, Ihsan Maulana Mustofa, 16-21, 21-18, 17-21.

Untuk rekod, ia merupakan kemenangan pertama Ihsan selepas empat kali bertemu dengan Lin Dan sebelum ini.

Lin Dan menyifatkan gaya permainan terlalu santai sehingga memakan dirinya dalam perlawanan itu.

"Perlawanan hari ini mungkin saya terlalu santai kerana sebelum ini saya mempunyai rekod yang baik menentang Ihsan.

"Mungkin itu kelemahan saya sehinggakan dia boleh menggunakan kesempatan dan peluang yang ada sehingga saya tewas," katanya.