Kejutan berlaku dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Malaysia apabila pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long, tersingkir manakala pemain profesional negara, Liew Daren, mengetepikan pilihan keempat dari Korea Selatan, Son Wan-ho, di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Jaguh dari China itu gagal mempamer aksi memberangsangkan ketika bertemu pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, apabila tewas straight set 17-21, 15-21.

"Ada beberapa kali keputusan juri tidak memihak kepada saya dan membuat keadaan menjadi sukar.

"Namun saya tidak boleh salahkan mereka. Ia berbalik kepada saya yang tidak pamer aksi terbaik hari ini," kata Chen Long selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, kem badminton Malaysia turut cemerlang, dengan perseorangan wanita, Lee Ying Ying, menewaskan wakil Russia, Evgeniya Kosetskaya, 21-17, 23-21.

Turut sama melangkah ke pusingan kedua adalah pasangan beregu wanita, Lim Yin Loo dan Yap Cheng Wen, yang mudah mengetepikan cabaran wakil Thailand, Supisara Paewsampran dan Kwanchanok Sudjaipraparat, 21-17, 21-17.

Dalam pada itu, Daren melakar kejutan dengan menumpaskan Wan-ho 21-15, 21-13.

"Memang saya gembira kerana saya tidak menjangkakan kemenangan ini. Ia agak mudah.

"Tidak tahu mengapa, mungkin lawan tidak dapat sesuaikan diri lagi dengan gelanggang," kata Daren.