Masters Malaysia: Beregu profesional negara sasar muncul juara

Oleh Staff Writer 14 Januari 2019 1357
Masters Malaysia: Beregu profesional negara sasar muncul juara
Kurang 24 jam selepas memenangi gelaran Kejohanan Badminton Masters Thailand 2019, pasangan beregu lelaki dan campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, sudah kembali ke tanah air untuk bersiap menghadapi Masters Malaysia yang akan bermula esok.

Peng Soon-Liu Ying, yang baru sahaja tiba di tanah air selepas menjuarai Masters Thailand, turun berlatih di gelanggang Arena Axiata untuk meneruskan rentak kemenangan yang diraih. 

Mereka menundukkan wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanacai, 21-16, 21-15 dalam final dan Peng Soon enggan mengambil mudah beraksi di laman sendiri dan sesi latihan itu menjadi bekalan mereka.

"Penat tetapi perlu menyesuaikan diri di gelanggang ini. Walaupun sudah beberapa kali beraksi di sini, sesi pemanas badan ini amat penting buat kami," katanya.

Wee Kiong serta pasangannya, V Shem, yang turut melakar kejayaan di Bangkok apabila menewaskan wakil dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Poh Han, 21-13, 21-17, meluahkan harapan yang sama dengan muncul juara dalam Masters Malaysia menjadi keutamaan.

"Kami cuba untuk melakukan yang terbaik untuk selesa beraksi di gelanggang ini. Kami berharap dapat menampilkan persembahan yang berkualiti dalam kejohanan ini," kata Wee Kiong.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen