Pemain beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, mencipta kejutan apabila menumbangkan pasangan ranking ketujuh dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia, untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2019 hari ini.

Dalam aksi di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur itu, gandingan muda negara yang berada di ranking ke-23 dunia itu menampilkan penguasaan gelanggang yang baik untuk meraih kemenangan straight set 26-24, 21-15 ke atas pilihan kelima kejohanan tersebut.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, Aaron berkata mereka turun beraksi hari ini tanpa sebarang tekanan, sebaliknya hanya mengikut segala arahan jurulatih.

“Memang langsung tidak fikir perlawanan ini menjadi mudah kerana kami pernah ditewaskan mereka ketika beraksi dalam Piala Thomas tahun lalu.

“Strategi hari ini, jurulatih lebih menekankan kepada cara kami mengawal gelanggang dan bermain tanpa tekanan sebab kami bukan pasangan pilihan,” katanya.

Dalam masa sama, Wooi Yik mengakui sokongan penyokong tempatan antara faktor yang mendorong mereka beraksi cemerlang dalam perlawanan tersebut.

Sementara itu, Aaron menyifatkan 2019 sebagai tahun penting bagi mereka dalam usaha memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Tahun ini amat penting untuk kami. Namun, sehingga April ini, kami hanya mahu memberi tumpuan menaikkan ranking dunia supaya mendapat undian yang lebih berpihak kepada kami nanti,” ujar Wooi Yik.

Dalam aksi suku akhir esok, Aaron dan Wooi Yik akan berdepan gandingan Denmark yang juga pilihan keempat kejohanan, Kim Astrup-Andres Skaarup Rasmussen, yang mudah mengatasi beregu profesional negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen, 21-13, 21-14 dalam satu lagi aksi pusingan kedua.

Sementara itu, cabaran beregu wanita negara berakhir selepas Vivian Hoo-Yap Cheng Wen tewas 9-21, 18-21 kepada Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto dari Indonesia dalam pusingan kedua.

-- BERNAMA