Peningkatan mendadak yang dipamerkan beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, merupakan petanda positif buat gandingan itu menjelang saingan Masters Malaysia 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil, dari 15 hingga 20 Januari ini.

Sejak digandingkan pada Januari tahun lalu, mereka mempamerkan peningkatan menakjubkan dalam ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF)

Bermula dengan ranking ke-200 dunia, mereka meningkat sehingga ke ranking ke-22 dunia hanya dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, ketiadaan bekas gandingan utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini menyaksikan tugas selaku pasangan utama kini terletak kepada gandingan muda itu.

“V Shem-Wee Kiong merupakan gandingan terbaik dan mereka berada di tahap yang kami impikan untuk mencapainya pada masa depan.

"Selepas mereka meninggalkan BAM, kami perlu bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan mereka itu,” kata Aaron.

Selepas setahun beraksi bersama, Aaron dan Wooi Yik memaparkan petanda positif ketika mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Dunia di China, Ogos tahun lalu.

“Dalam Kejohanan Dunia, kami menewaskan tiga beregu lelaki lain untuk ke suku akhir.

"Dua daripada pasangan itu menghuni ranking dunia yang lebih baik daripada kami.

"Ia memberikan kepuasan buat kami.

“Namun, secara keseluruhan, kami masih tidak berpuas hati memandangkan masih gagal untuk ke final kejohanan-kejohanan utama tahun lalu," tambahnya.

Aaron, 21, berharap gandingannya dengan Wooi Yik dapat menjadikan 2019 sebagai tahun gemilang mereka.

Aksi Masters Malaysia di laman sendiri mahu dijadikan sebagai pentas untuk memulakan penguasaan mereka tahun ini.

"Kami berharap dapat memantapkan permainan kami tahun ini.

"Kami akan menyertai Masters Thailand dan Masters Malaysia bulan ini.

"Dalam Masters Malaysia, kami berkemungkinan akan bertemu juara bertahan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, dalam pusingan kedua.

"Ia bakal menjadi ujian terbesar, namun kami yakin untuk mencapai kemenangan di laman sendiri," katanya lagi.