Bintang muda negara Lee Zii Jia, memulakan kempen Kejohanan Badminton Masters Indonesia dengan cukup yakin apabila menyingkirkan pemain nombor tiga dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen, di Istora Senayan, Jakarta, hari ini.

Zii Jia, 21, hanya mengambil masa 31 minit untuk merakamkan kemenangan kedua dalam tiga pertemuan ke atas Tien Chen 21-13, 21-13.

Satu-satunya wakil negara dalam acara perseorangan, Zii Jia, yang tewas kepada bekas juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen, dalam suku akhir Masters Malaysia minggu lalu, akan bertemu pemain Thailand, Sitthikom Thammasin, bagi perebutan tempat ke suku akhir esok.

Seorang lagi wakil negara, Chong Wei Feng, tersingkir seawal pusingan pertama apabila tewas 21-12, 21-8 kepada pemain nombor lapan dunia dari India, K. Srikanth.

Dalam acara beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menjadi wakil tunggal negara selepas dua lagi beregu negara mengalami kekalahan pusingan pertama.

Yew Sin-Ee Yi mara ke pusingan kedua setelah mengalahkan beregu China, He Jiting-Tan Qiang, 21-17, 21-8.

-- BERNAMA