Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyatakan masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai, berkata badan induk sukan itu tidak mahu memberi tekanan kepada mana-mana pemain, terutama jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, dan pemain muda lain.

Jelasnya, BAM memberi kepercayaan sepenuhnya kepada barisan kejurulatihan dalam membimbing pemain masing-masing untuk meraih slot ke Sukan Olimpik yang akan bermula Mei ini.

“Buat sementara, kami tidak boleh meletakkan sasaran emas Sukan Olimpik kepada Datuk Lee Chong Wei. Kita tidak boleh beri tekanan kepadanya. Beri dia masa untuk menjalani latihan selepas pulih sepenuhnya daripada penyakitnya itu.

“Seperti saya sebutkan sebelum ini, semua keputusan adalah daripada Chong Wei sendiri. Hanya Chong Wei tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Kami juga memiliki pemain muda yang sedang meningkat naik seperti Lee Zii Jia.

“Terdapat perkembangan positif dalam persembahan Zii Jia, dia baru berusia 21 tahun dan masih muda. Saya percaya Datuk Misbun Sidek (ketua jurulatih perseorangan lelaki) mempunyai perancangan terbaik untuk pemain muda,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Chong Wei akan membuat kemunculan semula dalam saingan Terbuka Malaysia, April depan, selepas berehat panjang susulan kanser hidung yang dihidapinya.

Dalam perkembangan lain, Chin Chai berkata BAM akan menghantar pemain muda bagi menggalas cabaran Malaysia dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia atau lebih dikenali sebagai Piala Tong Yun Kai di Hong Kong pada 19 hingga 24 Mac ini.

Selain memberi pendedahan, jelasnya, tujuan BAM mengetengahkan pemain muda dalam kejohanan itu kerana mahu mendidik pemain menjadi lebih matang dalam menghadapi kejohanan besar dan bersedia menjadi pemain bertanggungjawab.

“Ini platform terbaik mereka. Kita bukan sahaja mahu melihat pencapaian daripada prestasi mereka tetapi mahu pemain muda lebih matang dan bersedia apabila dipilih menggalas cabaran negara.

"Acara berpasukan berbeza dengan individu, semangat berpasukan akan membantu mereka lebih kompetitif,” katanya.

Barisan pemain untuk kejohanan berkenaan adalah Cheam June Wei, Soong Joo Ven (perseorangan lelaki); Lee Ying Ying, Ho Yen Mei (perseorangan wanita); Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong (beregu lelaki); Pearly Tan-Yap Ling, Anna Cheong-Lim Chiew Sien (beregu wanita); dan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei (beregu campuran).

-- BERNAMA