"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai."

Itu pepatah yang dipegang bekas jurulatih kecergasan skuad B-22 negara, Mashidee Sulaiman, apabila enggan menjadikan masalah komunikasi di Vietnam sebagai penghalang dalam kariernya.

Beliau antara lima jurulatih yang dipecat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas badan induk itu diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Mac 2017.

Memberi khidmat kepada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada musim 2018, Mashidee kemudian berkelana ke Vietnam demi kelangsungan kariernya dengan menyertai kelab Nam Dinh FC yang beraksi dalam liga satu negara itu.

Sememangnya cabaran yang dilaluinya lebih sukar berbanding di Malaysia.

"Pada mulanya, saya menghadapi masalah komunikasi kerana bukan mudah untuk menyampaikan arahan dalam sesi latihan.

"Tetapi lama-kelamaan mereka dapat memahami apa yang saya sampaikan," katanya.

Bekas jurulatih kecergasan Selangor itu juga terpaksa melupakan sambutan Aidilfitri tahun ini kerana terikat dengan komitmen bersama pasukan.

"Perasan saya yang perlu berjauhan dengan keluarga sudah diambil kira ketika saya menerima tawaran di luar.

"Syukur Alhamdulillah, ini bukan kali pertama saya perlu bekerja ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, apa yang penting keluarga dan rakan-rakan sentiasa memberikan sokongan," katanya.