Bekas pemain negara, Datuk Razif Sidek, melihat masalah kecergasan dan persediaan kurang mantap menjadi punca Malaysia gagal menepati sasaran untuk mara ke separuh akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand.

Ada dua kepincangan utama yang mengganggu kelancaran skuad negara yang terpaksa akur dengan kegagalan mereka kepada Indonesia dalam suku akhir, semalam.

Razif berkata Malaysia memiliki penguasaan kemahiran yang baik daripada pemain negara, namun tanpa kecergasan sehingga ke penghujung permainan, semua itu tidak membantu.

Hakikatnya, hanya Datuk Lee Chong Wei menamatkan saingan menerusi kemenangan straight set manakala perseorangan kedua negara, Lee Zii Jia, serta gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Aaron Chia-Teo Ee Yi longlai sebaik aksi terheret ke set ketiga.

"Kalau kita lihat semua pemain kita tidak boleh meneruskan permainan dalam set ketiga. Daripada kutipan mata kita boleh nampak, di mana ia rendah. Daripada situ kita boleh tahu," kata Razif.

Dalam masa yang sama, persediaan skuad Piala Thomas, terutama melibatkan beregu negara, tidak berada pada tahap terbaik.

Ia hanya bergantung kepada keberkesanan gandingan V Shem-Wee Kiong manakala aksi melibatkan pasangan bidan terjun negara bergantung kepada nasib semata-mata.

"Sekarang ini, pasangan kedua kita adalah pasangan baru. Kita tiada gandingan tetap. Kadang-kadang untuk strategi tertentu, ia bagus tetapi kadang-kadang ia memakan diri sendiri kerana mereka bukan gandingan tetap," katanya lagi.