Skuad lelaki negara kini bersedia untuk memastikan kemenangan menjadi milik mereka dalam aksi menentang Hong Kong dalam usaha mengesahkan laluan ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2018, petang ini.

Tatkala kemenangan akan menjamin tiket secara merit bagi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas, Malaysia kini berada pada tahap terbaik selepas menundukkan Taiwan dalam aksi malam tadi.

Kem perseorangan Malaysia yang diketuai Datuk Lee Chong Wei, diikuti oleh Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Lee Zii Jia sudah pasti memiliki keyakinan tinggi walaupun bakal berdepan Angus Ng Ka Long dan Vincent Wong Wing Ki yang berada dalam kelompok 15 pemain terbaik dunia.

“Memang Hong Kong memiliki perseorangan yang berkualiti tetapi Malaysia mempunyai Datuk Lee Chong Wei, jadi kami berharap dapat meraih mata awal. Begitu juga dengan Zii Jia, cuma dia tidak begitu bernasib baik. Saya harap semangat dapat diteruskan,” kata Iskandar.

Buat skuad beregu, mereka mencipta kebangkitan meyakinkan ketika menentang Taiwan walaupun jika dilihat di atas kertas, lawan jelas memiliki kelebihan daripada segi kedudukan dunia.

“Saya rasa setiap kali menyertai mana-mana kejohanan, kami akan berdepan tekanan sebegini dan kami sudah biasa. Apa yang penting, bagaimana kami mahu berdepan dengannya,” ujar pemain beregu negara, Tan Wee Kiong.