Malaysia perlu mengambil peluang dengan ketiadaan Korea Selatan dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia yang kini dikenali sebagai Piala Tong Yun Kai dalam usaha mengutip mata untuk memperoleh undian lebih mudah dalam aksi Piala Sudirman 2019.

Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Kenny Goh, mengesahkan naib juara 2017, Korea Selatan, tidak akan menghantar pasukan untuk saingan kali ini setelah tarikh tutup penyertaan berakhir pada 29 Januari lalu, sekali gus bermakna hanya 12 pasukan bertanding, termasuk Malaysia dan tuan rumah, Hong Kong.

Malaysia kini berada di kedudukan kelapan dunia di bawah Korea Selatan dan jika ada pertambahan mata ranking, ia bakal memberi kesan dalam undian untuk Piala Sudirman yang dijadualkan berlangsung di Nanning, China, Mei depan.

"Mereka seharusnya mengambil peluang dalam kejohanan ini sebagai satu persiapan bagi menghadapi Piala Sudirman. Kemudian, pemain yang telah disasarkan untuk ke Sukan Olimpik perlu mendapatkan sebanyak mata yang boleh," katanya.

Kenny juga menjelaskan Malaysia masih belum menamakan senarai penuh pemain yang akan beraksi dalam kejohanan itu dan masih mempunyai tempoh sehingga hujung bulan ini untuk membuat pertukaran.

Edisi pertama di Bandaraya Ho Chi Minh dua tahun lalu menyaksikan perjalanan skuad Malaysia setakat di peringkat suku akhir apabila tumpas kepada China.

"Sebenarnya, tarikh tutup untuk penyertaan nama pemain adalah pada penghujung bulan ini, jadi ini bermakna semua pasukan termasuk Malaysia masih mempunyai masa untuk menamakan skuad," tambah Kenny.

"Cuma, buat masa ini kami masih belum tahu pemain mana yang akan berentap di Hong Kong nanti, termasuk wakil daripada Malaysia."