Malaysia memulakan saingan Piala Sudirman 2017 dengan langkah kanan selepas mudah menewaskan Jerman 5-0, tengah hari tadi.


Pasangan beregu negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, memberikan mata pertama selepas menewaskan Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich, 21-17, 21-13, sebelum pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, mudah menewaskan pemain di ranking ke-38 dunia, Fabian Roth, 21-12, 21-11, dalam aksi yang berlangsung selama 34 minit.


Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, bagaimanapun dipaksa berhempas-pulas sebelum mengesahkan kemenangan apabila melebarkan kedudukan kepada 3-0 apabila menewaskan Jones Ralfy Jensen-Josche Zurwonne, 21-16, 21-19.

Goh Jin Wei turut tidak mengecewakan apabila mudah menumbangkan cabaran pemain berusia 25 tahun, Fabienne Deprez, 21-10, 21-13, sebelum Vivian Hoo-Woon Khe Wei melengkapkan permulaan cemerlang negara dengan mata kelima dengan menewaskan Johanna Goliszewski-Isable Hettrich, 21-12, 21-11.

Malaysia bakal menentang Jepun dalam satu lagi aksi Kumpulan 1C esok, jam 4 petang waktu Malaysia.


Dalam edisi sebelum ini, skuad negara sekadar menamatkan saingan di peringkat separuh akhir.