Aksi pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, semakin meyakinkan apabila mudah mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2019 hari ini.

Jaguh remaja dunia itu hanya mengambil masa 30 minit untuk menundukkan Zhang Yiman dari China, 21-13, 21-10 dalam perlawanan pusingan kedua di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur.

Jin Wei berkata kemenangan ke atas idolanya yang juga pilihan ketiga kejohanan dari Jepun, Akane Yamaguchi, dalam perlawanan semalam menambah keyakinannya untuk menewaskan pemain lawan hari ini.

“Saya main sama seperti semalam, mungkin lebih bersabar dan tidak gopoh membuatkan saya cepat mendapat mata. Saya tidak suka memberi tekanan kepada diri sendiri dengan meletakkan sasaran terlalu tinggi.

“Setiap perlawanan saya akan bermain habis-habisan tanpa memikirkan siapapun lawan” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Menantinya esok adalah pemain pilihan kelima, He Bingjiao dari China.

Sementara itu, Jin Wei menarik perhatian wartawan apabila pemain itu sering dilihat memakai jersi yang sama, iaitu keluaran edisi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Jin Wei mengakui akan memakai jersi berwarna hitam itu ketika menjalani latihan dan juga semasa menyertai kejohanan.

Pemain berusia 19 tahun itu menyifatkan jersi tersebut memberi tuah kepadanya dan dia tiada masalah untuk memakainya berulang kali walaupun setiap tahun pemain akan menerima set jersi baru.

“Saya selesa dengan jersi ini, kualitinya bagus. Ya, jersi ini juga memberi tuah sejak saya pakai ketika Sukan SEA Kuala Lumpur lalu.

“Warna jersi ini hitam dan bila memakainya saya akan kelihatan lebih kurus. Kalau warna lain, saya kelihatan berisi. Saya percaya jersi ini akan memberi tuah kepada saya,” ujar Jin Wei.