MALAYSIA 2 INDONESIA 3

Impian Malaysia untuk menjadi juara Kumpulan B musnah apabila tumpas 2-3 kepada Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, hari ini.


Persembahan cemerlang beregu lelaki negara, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin, di dalam gelanggang masih belum cukup untuk mengekang kemenangan Wahyu Nayaka dan Ade Yusuf, 11-21, 21-17, 20-22.

Selepas itu, Lee Ying Ying cuba untuk menyamakan kedudukan tetapi perseorangan wanita negara itu turut tewas kepada Gregoria Mariska dalam perlawanan tiga set, 8-21, 21-16, 15-21.

Pemain perseorangan negara, Lim Chi Weng, bagaimanapun, menghadirkan kegembiraan buat kem negara apabila menyumbang mata pertama selepas menundukkan Firman Abdul Kholik, 21-19, 21-15.

Kemudian, Gandingan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean, cuba memberi saingan kepada lawan, Anggia Shitta Awanda-Tiara Rosalia Nuraidah, malangnya mereka tidak dapat menghalang Indonesia untuk mencatat mata ketiga mereka selepas tumpas, 19-21, 18-21.

Dalam saingan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai mengubat kekecewaan Malaysia apabila merapatkan jurang 2-3 menerusi kemenangan ke atas pasangan Subaktiar Edi-Gloria Emanuelle Widjaja, 21-16,21-16.

Keputusan itu menyaksikan laluan Malaysia berliku kerana dijangka akan bertemu China, Jepun atau Korea Selatan dalam peringkat suku akhir.