Malaysia bermula langkah kanan

Oleh Staff Writer 14 Februari 2017
Malaysia bermula langkah kanan
Skuad badminton negara lulus ujian pertama apabila mudah menewaskan Sri Lanka 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Kejohanan Badminton Campuran Berpasukan Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, hari ini.

Lebih menarik, kesemua peserta negara membenam lawan masing-masing dengan kemenangan straight set.

Turun sebagai pilihan keempat kejohanan, Malaysia bermula dengan persembahan memberangsangkan menerusi pemain perseorangan, Soong Joo Ven, yang mudah menewaskan Niluka Karunaratne, 21-8, 21-17.

Lee Ying Ying kemudian menjadikan keputusan 2-0 selepas menundukkan Thilini Pramodika Hendahewa, 21-19, 21-11.

Beregu muda lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani, diberikan tentangan sengit oleh pasangan adik-beradik, Niluka dan Dinuka Karunaratne, sebelum mencatat kemenangan 21-8, 22-20.

Malaysia terus meratah Sri Lanka, kali ini menerusi gandingan beregu wanita, Yap Cheng Wen dan Lim Yin Loo, yang menumpaskan lawan, Thilini dan Kavindi Ishandika Sirimannage, 21-11, 21-15.

Pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat dan Shevon Jamie Lai, melengkapkan kemenangan 5-0 dengan keputusan  21-12, 21-10.

"Sekalipun kami tidak meletakkan skuad terbaik, pemain remaja kami mampu mengawal situasi. Ia adalah keputusan yang bagus," kata jurulatih badminton negara, Tey Seu Bock.

Malaysia akan berdepan Indonesia dalam perlawanan kedua Khamis ini.

Malaysia mn Sri Lanka 5-0

Soong Joo Ven mn Niluka Karunaratne 21-8, 21-17 

Lee Ying Ying mn Thilini Pramodika Hendahewa 21-19, 21-11

Goh Sze Fei/Nur Izzuddin Mohd Rumsani mn Niluka Karunaratne/Dinuka Karunaratne 21-8, 22-20 

Yap Cheng Wen/Lim Yin Loo mn Thilini Pramodika Hendahewa/Kavindi Ishandika Sirimannage 21-11, 21-15

Goh Soon Huat/Shevon Jamie Lai mn Renu Chandrika Hettiarachchige/Dinuka Karunaratne 21-12, 21-10. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen