Persaraan Datuk Lee Chong Wei menyedarkan pemain beregu campuran profesional, Goh Liu Ying, betapa dia beruntung kerana masih berpeluang untuk menabur bakti buat sukan badminton Malaysia.

Meskipun dijauhkan daripada penyakit serius seperti kanser yang melanda Chong Wei, dia berdepan cabaran tersendiri, lebih-lebih lagi pembedahan kedua-dua lutut yang dilalui lima tahun lalu.

Baginya, memandangkan bakal menjangkau usia 30 tahun, keperluan menangani tahap kecergasan fizikal sama penting seperti prestasi dalam gelanggang.

"Saya kembali daripada dua pembedahan dan sangat menghargai setiap waktu dalam gelanggang. Sekarang karier saya semakin kurang, jadi saya sangat hargainya selagi dapat beraksi," katanya.

Walaupun tidak lagi dilimpahi dengan kemudahan sokongan sains sukan dan pemulihan fizikal seperti pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Liu Ying tidak patah semangat dalam memastikan dirinya layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ia bersandarkan kepada pengalaman layak ke temasya London 2012 sebelum memenangi pingat perak di Rio empat tahun lalu.

"Saya rasa kami lebih berpengalaman berbanding beregu lain, jadi kelebihan ini harus diambil. Dalam setiap kejohanan, kami lebih berusia, jadi perlu lebihkan latihan fizikal. Jika tidak, prestasi akan lebih mudah menurun berbanding pemain muda," katanya.