Liu Ying optimis peluang beregu campuran negara

Oleh Staff Writer 27 Februari 2018 267
Liu Ying optimis peluang beregu campuran negara
Ratu beregu campuran negara, Goh Liu Ying, berpandangan tidak mustahil untuk Malaysia memiliki tiga gandingan dalam kelompok 10 terbaik dunia menjelang Kejohanan Dunia 2018.

Ketika ini, pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai muncul sebagai beregu nombor satu negara di kedudukan ke-10 dunia, sementara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing satu tangga di bawah mereka.

Bagaimanapun, Liu Ying dan gandingannya, Chan Peng Soon, perlu memastikan keputusan positif dalam setiap kejohanan yang disertai memandangkan mereka kini berada di kedudukan ke-41 dunia.

"Saya rasa prestasi beregu campuran negara semakin menghampiri taraf pasukan gergasi dunia yang lain seperti China. Kami semakin berpeluang untuk bersaing dengan mereka dan Indonesia," katanya.

Pandangan Liu Ying itu turut disuarakan kerana apa yang pasti, dia dan Peng Soon tentunya mahu merampas kembali status sebagai pasangan nombor satu Malaysia.

"Tentu saya gembira apabila melihat beregu campuran bukan sekadar saya dan Peng Soon tetapi ada dua pasangan lagi. 

"Sasaran saya pada tahun ini adalah untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia dan kembali memegang status beregu campuran nombor satu negara tetapi lebih bagus jika tiga beregu dapat tersenarai," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen