Lima pemain badminton negara yang baru tersenarai dalam Program Podium 2017 minggu lalu, melahirkan rasa syukur kerana bakal mendapat kemudahan dan pemerhatian yang lebih komprehensif dalam membantu perkembangan karier mereka.

Seramai 33 atlet kebangsaan daripada 14 jenis sukan berada dalam Program Podium.

Antara yang turut tersenarai kali ini adalah pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing.

Ketika ini, Kian Meng dan Pei Jing berada di ranking kesembilan dunia dan penyenaraian mereka dalam Program Podium melonjakkan lagi semangat untuk menghadapi Kejohanan Seluruh England, bulan depan.

"Selepas masuk ke dalam Program Podium sebagai persiapan kami untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, saya sangat teruja dengan perkara ini dan tidak mahu melepaskan peluang ini," kata Pei Jing.

Selain itu, turut tersenarai adalah gandingan beregu lelaki negara, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin. Kedua-dua pemain ini menunjukkan peningkatan di peringkat antarabangsa apabila kini menghuni ranking ke-25 dunia walaupun hanya digandingkan sejak November 2015.

"Ini merupakan satu perkara yang baik buat kami, ia membenarkan kami untuk memberikan fokus di dalam latihan untuk meningkatkan mutu permainan," jelas Yew Sin.

Seorang lagi yang berada dalam senarai baru Program Podium adalah perseorangan wanita, Goh Jin Wei.

Program Podium diwujudkan dengan matlamat meraih emas pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.