Pasukan Selangor mengukuhkan reputasi sebagai kuasa besar dalam arena badminton remaja apabila terus unggul menjuarai saingan akhir Liga Remaja Kebangsaan 2019 dengan menyapu bersih kategori lelaki dan perempuan buat kali ketiga berturut-turut, hari ini.

Saingan akhir dimulakan dengan acara berpasukan perempuan apabila Selangor diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan menentang wakil Kuala Lumpur di Stadium Juara, Bukit Kiara.

K. Letshana mudah menghadiahkan mata pertama dengan menumbangkan Brenda Lim 21-7, 21-3, diikuti gandingan beregu perempuan, Ho Lo Ee-Loh Zhi Wei, yang tiada masalah untuk menyumbang mata kedua setelah mengetepikan Amanda Yap dan Odelia Wong 21-6, 21-19.

Siti Nursuhaini Azman menceriakan kem Selangor apabila memastikan kejuaraan berpasukan perempuan itu apabila menang straight set 21-15, 21-9 ke atas Goh Jee Lien.

Momentum kemenangan itu diteruskan oleh pasukan lelaki Selangor yang turut diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan untuk turut sama melakar kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur.

Perseorangan lelaki, Wong Jimmy dan Chua Kim Sheng, cemerlang untuk menghadiahkan mata buat juara bertahan itu sementara gandingan Kenny Khew dan Mohd Haris Sufian juga tidak menghadapi masalah sebelum menoktahkan kemenangan Selangor, sekali gus dinobat sebagai juara buat kali ketiga berturut-turut sejak 2017.

"Kami sudah menjangkakan kemenangan ini dan saya telah menasihati setiap pemain agar memberikan yang terbaik ketika berdepan Kuala Lumpur.

"Ini merupakan satu sejarah bagi pasukan Selangor kerana dinobat sebagai juara buat kali ketiga berturut-turut," kata ketua jurulatih pasukan Selangor, Seto Danu Kusuma.