Atlet badminton para negara, Cheah Liek Hou, mengharapkan tuah sempena Tahun Baru Cina kali ini dapat terus melonjakkan semangatnya dalam menghadapi beberapa tugasan penting sepanjang 2019.

Seperti tahun sebelumnya, Tahun Baru Cina merupakan peluang terbaik buat Liek Hou untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga.

Kali ini, sambutannya lebih istimewa kerana dia baru sahaja melangsungkan perkahwinan minggu lalu.

Liek Hou menjelaskan kebiasaannya dia akan meraikan perayaan di kampung halaman ibunya di Medan, Indonesia tetapi tahun ini ada tradisi tersendiri yang perlu dihormati.

"Tradisi di Medan dan Malaysia hampir sama. Tahun ini, ia pertama kali saya meraikannya di Kuala Lumpur kerana baru berkahwin. Ibu bapa saya kata tahun pertama lebih baik semua berada di rumah, kemudian baru melawat saudara," katanya.

Sementara itu, Liek Hou menjelaskan ada beberapa pertandingan yang perlu diberikan tumpuan penuh sepanjang 2019 selain misi untuk layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Antaranya sudah pasti Kejohanan Dunia Para yang dijadualkan berlangsung di Switzerland, Ogos depan serta Sukan Para Asean Filipina tahun depan.

"Untuk saya, memang ada dua pertandingan. Saya perlu bekerja keras untuk mencapai matlamat.

"Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakyat Malaysia."