Bekas pemain badminton negara, Datuk James Selvaraj, melihat keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melepaskan Morten Frost Hansen selaku pengarah teknikal sebagai salah satu punca kesilapan di sebalik kehambaran skuad Piala Thomas dan Uber negara di Bangkok.

Sejak Frost meletakkan jawatan pada 18 September 2017, Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, pernah berkata Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan (C&T) tidak bercadang mengambil pengarah teknikal.

Namun, nada itu kembali berbeza dengan apa yang terjadi di Bangkok sebaik skuad Piala Thomas tersungkur dalam suku akhir manakala skuad Piala Uber terkandas di peringkat kumpulan.

Menurut James, beliau yang masih tertanya-tanya punca Frost meninggalkan BAM serta berharap badan induk itu mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi di Bangkok dan mewujudkan kembali jawatan pengarah teknikal.

"Selepas Frost pergi, masih tiada lagi pengganti. Kita hanya membawa masuk Datuk Misbun Sidek untuk menjaga perseorangan lelaki. Kamu tahu apa lagi yang berlaku? Kita bawa masuk Cheah Soon Kit untuk menguruskan pemain beregu.

"Tetapi -- apa yang berlaku ketika menyaksikannya Piala Thomas di televisyen -- beberapa jurulatih tidak tahu apa yang dikatakan kepada pemainnya, adakah ia betul atau tidak.

"Kamu memerlukan seseorang di atas jurulatih-jurulatih untuk memberitahu mereka program ini adalah betul dan kamu melakukannya dengan betul," kata James.

James yang merupakan bekas pengarah prestasi tinggi BAM pada 2010 hingga 2012, berpendapat skuad negara sudah ada pelapis muda untuk diketengahkan.

Cuma beliau berharap pendedahan lebih banyak dapat diberikan bagi memastikan mereka lebih cepat matang dalam strategi dan aspek kekuatan mental.

"Corak permainan (kejohanan luar) sama sekali berbeza dengan di negara kita. Bagaimana kamu masuk ke gelanggang dan penonton menjerit dan bersorak ke arah kamu, semuanya adalah pengalaman.

"Apabila kamu melepasi tahap ini, memahami permainan dengan baik dan bermain baik, kamu tahu perasaan bagaimana untuk menjadi juara. Saya rasa pemain muda harus diberikan pendedahan," katanya lagi.