Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, menjangkakan tonggak perseorangan badminton wanita negara, Goh Jin Wei, akan kembali beraksi secara kompetitif dalam tempoh kurang daripada setahun.

Pemain berusia 19 tahun itu diketepikan daripada kontinjen negara ke Sukan SEA apabila harus menjalani pembedahan usus besar, sekali gus ia juga memberi kesan terhadap penampilannya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ahmad Faedzal menjelaskan prosedur pembedahan Jin Wei bukan perkara kecil kerana ia membabitkan prosedur utama.

"Pembedahan yang dijalankan akan memudahkan proses penyahtinjaan dan perkumuhan sementara Jin Wei tidak lagi perlu bergantung kepada ubat selepas ini," katanya.

Pihak ISN memberikan jaminan dalam memastikan Jin Wei akan dijaga sebaik mungkin supaya pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu mampu kembali ke gelanggang latihan secepat mungkin.

"Berdasarkan pengalaman pakar-pakar perubatan kami, Jin Wei akan kembali beraksi kurang setahun daripada sekarang."

Dengan ketiadaan Jin Wei, sandaran kini dipikul Soniia Cheah di Manila dan juga buruan slot ke Sukan Olimpik 2020.