Seramai 351 pemain badminton dari seluruh dunia, diketuai jaguh-jaguh dunia, Datuk Lee Chong Wei, Lin Dan dan Chen Long, akan menyertai Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2017, yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan, Kompleks Sukan Sarawak dari 4 hingga 9 April depan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata jagoan-jagoan ini akan beraksi untuk merebut habuan USD600,000 (RM2.4 juta) yang dtawarkan oleh kejohanan bertaraf "siri super" itu.

"Bagi Kerajaan Negeri Sarawak, kami amat mengalu-alukan penganjuran ini yang menjadi salah satu program pelancongan sukan negeri ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat induk penganjuran kejohanan di Stadium Negeri.

Turut hadir Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Mohamad Al-Amin Abdul Majid dan Presiden Persatuan Badminton Sarawak, Tan Sri Abdul Aziz Hussain.

Jelas Karim, Indonesia akan menghantar wakil terbanyak dengan 53 peserta, diikuti Malaysia (46), China (40), Taiwan (37), India (32), Denmark (24), Jepun (24), Thailand (20), Korea (17), HongKong (16)England (11), Singapura (7), Mesir (6) dan Australia (6).

"Bulgaria, Jerman dan Russia akan menghantar tiga peserta manakala Perancis, Sepanyol dan Amerika Syarikat masing-masing seorang."

Menurutnya, kejohanan itu akan turut dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia.

Peminat-peminat tegar badminton di negeri ini boleh menyaksikan kelibat pemain-pemain dunia ini secara percuma pada hari pertama kejohanan pada 4 April.

"Untuk hari berikutnya, harga tiket yang bebas tempat duduk dijual pada harga RM20 (5 April), RM30 (6 April), RM40 (7 April), RM50 (8 April) dan RM60 (9 April).

Tiket akan mula dijual pada 6 Mac ini manakala tempahan pembelian di atas talian boleh dilakukan dengan melayari laman sesawang www.badmintonmalaysiaopen.com