Perseorangan wanita negara S. Kisona, tetap sabar menanti aksi kompetetif pertama bagi musim 2020 di sebalik momentumnya memenangi pingat emas Sukan SEA Filipina 2019.

Berdasarkan perbincangan dengan jurulatih yang mengetuai program skuad perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock, Kisona hanya akan mula turun ke gelanggang bulan depan.

Malah, Kisona lebih percaya dengan perancangan Seu Bock berbanding kegusaran terhadap gangguan momentum ke atas prestasi luar biasanya di Filipina 2019.

Ironinya, penampilan pertama Kisona musim ini adalah di Manila, Filipina menerusi Kejohanan Berpasukan Asia yang juga kelayakan untuk Piala Uber 2020.

"Kembali beraksi di Manila semestinya memberikan kenangan yang terbaik bagi saya. Saya sudah menjalani latihan dan persiapan dan mengikut setiap arahan yang dikeluarkan jurulatih. Walaupun agak lama, saya sedia menanti peluang untuk ke kancah kompetitif," katanya.

Skuad perseorangan wanita negara disifatkan sebagai tempang susulan kecederaan dialami pemain nombor satu negara, Soniia Cheah, serta pemulihan pembedahan yang sedang dilalui Goh Jin Wei.

Tetapi Kisona menawarkan perkembangan positif menjelang Kejohanan Berpasukan Asia yang dijadualkan berlangsung dari 11 sehingga 16 Februari ini.

"Jin Wei dan Soniia masih lagi dalam proses pemulihan, namun saya berasakan mereka adalah pemain yang berkualiti dan bakal kembali ke tahap terbaik."



Editor: Ammar Hakim