Pemain perseorangan wanita negara, S. Kisona, berterima kasih kepada barisan kejurulatihan skuad negara yang memberi peluang kepadanya untuk membuktikan kemampuan dalam kempen Piala Uber 2018.

Aksi di Bangkok merupakan penampilan sulung Kisona dalam saingan Piala Uber dan dia jelas tidak mengecewakan apabila memenangi dua perlawanan ke atas pemain Indonesia, Ruselli Hartawan, dan Katia Normand dari Perancis untuk menyumbangkan mata buat skuad negara.

Baginya, pengalaman itu banyak membantu dirinya dalam proses untuk menjadi pemain yang lebih baik.

"Ini adalah permulaan yang baik buat saya. Saya rasa akan dapat meraih lebih banyak kejayaan di masa akan datang apabila menyertai kejohanan-kejohanan besar. Apa yang penting, usaha gigih.

"Semestinya aksi di sini menjadi pengalaman terbaik kerana ini adalah penyertaan pertama saya," kata Kisona.

Antara pencapaian Kisona sepanjang tahun ini adalah mara ke separuh akhir Kejohanan Masters Thailand, Januari lalu, manakala dalam Kejohanan Kebangsaan, dia terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas kecundang kepada Soniia Cheah dalam final.

Selain itu, dia juga merupakan sebahagian daripada anggota skuad wanita negara dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah yang juga menjadi pusingan kelayakan untuk Piala Uber.

"Sasaran saya selepas ini adalah memberikan keputusan positif dalam semua kejohanan. Walaupun tidak bergelar juara, keputusan baik untuk diri sendiri sudah mencukupi. Ia menjadi persediaan terbaik buat saya bagi menghadapi saingan 2019," tambahnya.