Pemain perseorangan wanita muda negara, S. Kisona, sedia mengambil peluang yang diberikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai pelantar untuk berada di peringkat yang lebih kompetitif.

Pemain di ranking ke-106 itu menganggap bahawa dia perlu menggunakan setiap peluang yang diberikan badan induk berkenaan dalam misi meningkatkan prestasinya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 itu antara nama yang dipertaruhkan dalam Kejohanan Berpasukan Asia bersama beberapa pemain senior lain seperti Soniia Cheah dan Goh Jin Wei.

Kisona menjelaskan dia tidak tertekan dengan cabaran yang diberikan BAM, malah mahu menggalas tanggungjawab negara sebaik-baiknya biarpun terpaksa berdepan pemain di kedudukan yang lebih tinggi.

"Apa jua cabaran yang diberikan BAM, saya perlu hargai setiap peluang, termasuk dalam acara berpasukan, memandangkan ia kesempatan untuk saya membuktikan kemampuan di atas gelanggang.

"Saya akan ambil serius setiap kejohanan yang akan disertai kerana ia merupakan sebahagian cabaran dalam karier saya selain berkesempatan untuk mengharumkan nama Malaysia.

"Tekanan tiada meskipun terpaksa bersaing dengan pemain berpengalaman.

"Saya hanya perlu tunjukkan hasil daripada latihan dan pamerkan semangat juang seperti biasa," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain muda yang menggalas cabaran negara, M. Thinaah, menganggap kekalahan dalam dua perlawanan musim ini tidak menjatuhkan semangatnya untuk memberi cabaran di Manila bulan depan.

"Kami mengalami prestasi turun naik dalam dua kejohanan awal tetapi kami tidak akan berputus asa.

"Kami tidak berdepan tekanan kerana tidak banyak pemain elit yang terlibat.

"Kalau diberi peluang untuk bermain, kami cuma perlu berikan aksi terbaik," kata Thinaah yang membentuk gandingan beregu wanita dengan Pearly Tan.

Ini merupakan barisan terbaik perseorangan wanita dalam memacu kejayaan dalam Kejohanan Berpasukan Asia apabila turut menyenaraikan perseorangan wanita terbaik negara, Jin Wei.



Editor: Shaiful Shamsudin