Bekas pemain beregu emas negara, Koo Kien Keat, berasakan Tan Wee Kiong dan Goh V Shem memiliki kualiti untuk menawan Seluruh England.

Kien Keat dan bekas gandingannya, Tan Boon Heong, pernah memenangi kejuaraan ini pada edisi 2007.

"Dari dahulu lagi, saya melihat mereka sebagai satu beregu yang berkualiti, mereka telah meningkatkan mutu permainan serta memiliki pengalaman yang banyak," katanya.

Kien Keat juga teruja melihat perkembangan Wee Kiong-V Shem yang berupaya meneruskan legasi yang ditinggalkan dirinya dan Boon Heong.

Namun, Kien Keat menawarkan nasihat agar kedudukan Wee Kiong-V Shem di puncak dunia tidak berakhir dengan tragedi seperti dialami dirinya bersama Boon Heong.

"Saya berharap mereka dapat mengekalkan status sebagai beregu nombor satu dunia dan terus bekerja keras dalam sesi latihan dan kejohanan yang akan datang."

Datuk Lee Chong Wei masih belum mengetahui lawannya dalam pusingan pertama sementara V Shem-Wee Kiong akan berdepan lawan dari Jepun sementara lawan dari Taiwan menanti Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi.