Skuad beregu badminton negara menyasarkan kepada salah seorang seteru bekas pemain beregu no. 1 dunia, Tan Boon Heong, yang berasal dari Indonesia untuk mengisi kekosongan dalam barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.

Seteru yang dimaksudkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu adalah bekas juara dunia, Markis Kido, yang terkenal ketika bergandingan dengan Hendra Setiawan.

Dia yang kini berusia 33 tahun masih lagi aktif beraksi di pentas terbuka bersama Hendra Gunawan.

"Ada sesetengah daripada mereka memang bekas pemain dan kami juga ada melihat calon-calon dari luar negara.

"Kami akan membuat keputusan secepat mungkin kerana mahu mempersiapkan diri bagi aksi Piala Thomas,' ujar Pengurus Besar BAM, Michelle Lai.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, menegaskan pendekatan kali ini berbeza dengan perlantikan Vontous Indra Mawan sambil menyifatkan pengalaman dan kualiti sebagai bekas pemain menjadi kriteria yang diperlukannya tatkala kekosongan dalam kem beregu wujud selepas Rosman Razak dinamakan sebagai ketua jurulatih beregu wanita negara.

"Sudah tentu saya akan melihat kepada pilihan yang lebih baik kerana Rosman adalah jurulatih yang berpengalaman. Pengalaman yang lebih tinggi mungkin diperlukan," kata Soon Kit.