Pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng, diuji hebat dalam persiapan menghadapi Kejohanan Terbuka Malaysia 2018 apabila menerima perkhabaran bahawa abangnya menghidap barah dan kini dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital di Singapura.

Abangnya, Tan Jiun Yong, kini berusia 35 tahun, difahamkan menghidap barah perut tahap empat.

Walaupun berdepan kesukaran dengan ujian itu, Kian Meng tetap tidak mahu membenarkan kualiti latihan persiapannya terjejas.

Walaupun bergegas untuk ke Singapura, dia tetap meluangkan masa untuk berkongsi apa yang dilalui bersama media.

"Saya baru tahu tentang perkara itu. Bagaimanapun, walaupun ia melibatkan situasi peribadi, saya juga perlu memikirkan kerjaya saya," kata Kian Meng.

Saingan Terbuka Malaysia yang bertaraf perdana amat penting buat Kian Meng dan gandingannya, Lai Pei Jing, susulan penggantungan dua kejohanan, iaitu Terbuka Australia dan Terbuka New Zealand, yang dikenakan ke atas mereka gara-gara kemerosotan prestasi.

"Sekarang terdapat sedikit perubahan dalam kem kejurulatihan tetapi ia tidak memberi sebarang masalah.

"Saya rasa penggantungan dalam dua kejohanan juga sesuatu yang bagus buat saya dan Pei Jing kerana sebelum ini kami tidak memiliki masa yang cukup untuk latihan, jadi diharapkan kami cukup bersedia untuk berdepan saingan Terbuka Malaysia," katanya lagi.