Walaupun berbaki dua sahaja lagi kejohanan, pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing, tetap yakin mampu melayakkan diri ke Kejohanan Siri Super Akhir di Dubai, bulan depan.

Masa kian suntuk buat pasangan negara itu apabila hanya tinggal Siri Super Premier Terbuka China dan Hong Kong akan menjadi medan buat mereka terus mengutip mata kedudukan.

Ketika ini, Kian Meng dan Pei Jing berada di kedudukan ketujuh dalam perebutan untuk ke Siri Super Akhir di Dubai yang dijadualkan berlangsung pada 13 Disember depan, sekaligus memberikan sedikit tekanan kerana hanya lapan pemain atau beregu terbaik yang layak untuk beraksi dalam kejohanan itu.

“Setiap kali selepas satu pertandingan, kami akan berbincang. Saya harap kami dapat mengekalkan prestasi terbaik, sama seperti ketika aksi di Terbuka Perancis,” kata Kian Meng.

Bagi Kian Meng, dia mahu cuba menamatkan tahun 2017 untuk beraksi dalam kejohanan itu memandangkan ia bakal menjadi pengalaman pertama beraksi dalam Siri Super Akhir Dubai jika mereka berjaya melayakkan diri.

“Tahun ini agak bagus buat saya tetapi saya perlu menghadapi tekanan kerana ketika ini, kedudukan saya dan Pei Jing agak baik,” tambahnya.