Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mencabar jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, untuk menamatkan penantian muncul sebagai juara dunia di Glasgow, Scotland, bulan depan selepas empat atlet negara menggegar arena antarabangsa.

Kejayaan empat atlet negara muncul juara dunia dalam acara masing-masing sepatutnya membakar semangat Chong Wei.

Azizulhasni Awang (acara keirin), atlet Paralimpik, Mohd Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan terbaru, Cheong Jun Hoong (10m individu platform) sudah mengecapi nikmat itu.

Tumpuan kini terarah kepada Chong Wei selepas gagal dalam sembilan percubaan dalam Kejohanan Dunia.

"Kini tekanan terletak di bahu Chong Wei.

"Kita tahu dia adalah pemain badminton terulung untuk Malaysia tetapi masih belum muncul juara dunia.

"Saya berharap kejayaan Azizulhasni dan Jun Hoong akan meringankan beban terhadapnya agar dia dapat menikmati kejohanan itu nanti," kata Khairy ketika melancarkan cenderamata Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 oleh Petronas dan Telekom Malaysia.

Antara gelaran utama yang menjadi idaman Chong Wei ialah Kejohanan Dunia dan pingat emas Sukan Olimpik.

Jaguh berusia 35 tahun itu juga dikecualikan daripada kontinjen negara dalam Sukan SEA, bulan depan, untuk memburu kejuaraan dunia.

Malaysia berpeluang meraikan juara dunia kelima apabila jaguh pecut Paralimpik, Mohd Ridzuan Puzi, turun dalam acara 100m T26 Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia di London, England, esok.

"Ridzuan tidak akan menghadapi masalah memandangkan dia adalah juara bertahan dunia dan juara Sukan Paralimpik.

"Walaupun 200m bukan acara yang paling digemarinya, dia telah menunjukkan prestasi yang baik, jadi saya tidak ada sebab meraguinya untuk muncul juara dunia."