Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, melepaskan portfolio pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) untuk digalas Setiausaha Kehormat, Datuk Ng Chin Chai.

Dua agenda utama adalah mewujudkan jawatan membantu barisan ketua jurulatih dan mengenal pasti pemain yang tidak lagi menyumbang kepada skuad kebangsaan.

Chin Chai, yang tidak asing dengan peranan ini, menyandang jawatan sebagai pengerusi C&T BAM pada 2010 sehingga 2013.

"Buat masa sekarang, kami harus memiliki seseorang untuk menguruskan semua jurulatih. Mungkin ia dalam perspektif berbeza. Mungkin pengarah teknikal adalah pengurus pasukan sepenuh masa.

"Setiap ketua jurulatih membawa reputasi hebat. Datuk Misbun Sidek, Cheah Soon Kit, Datuk Tey Seu Bock dan Rosman Razak adalah jurulatih berkelayakan tinggi.

"Mungkin tidak perlu meletakkan pengurus berkelayakan tinggi, ia mungkin hanya untuk mengurus menyatukan mereka," kata Chin Chai.

Dalam pada itu, beliau akan menggerakkan agenda untuk meremajakan skuad kebangsaan.

Katanya, bulan Ogos nanti akan menjadi permulaan kepada penstrukturan semula pemain dalam skuad utama negara.

Hanya satu atau dua pemain senior bertaraf elit akan dikekalkan sementara pengkhususan akan diberikan kepada pemain di bawah usia 21 tahun.

"Sebenarnya, barisan pelapis terlalu besar, di mana saya percaya mempunyai pakej untuk berada dalam skuad negara. Kami harus menilai setiap pemain dalam pasukan.

"Kami juga harus merancang untuk barisan muda bagi meneruskan kerjaya mereka," katanya lagi