Ketepikan ego masing-masing, kata Norza mengenai konflik Chong Wei-Frost

Oleh Staff Writer 8 Februari 2017
Ketepikan ego masing-masing, kata Norza mengenai konflik Chong Wei-Frost
Timbalan Presiden, Persatuan Badminton Malaysia (BAM),  Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, menyarankan agar Datuk Lee Chong Wei tidak terburu-buru membuat keputusan meninggalkan badan induk itu hanya kerana pergeseran kecil dengan pengarah teknikal, Morten Frost.

BAM sudah bertemu Chong Wei selepas pemain itu ditimpa kecederaan ligamen kolateral medial (MCL) pada lutut kirinya, Sabtu lalu.

Mereka memahami apa yang dilalui jaguh perseorangan negara itu, bagaimanapun, berharap isu tersebut tidak berpanjangan.

Ini kerana Chong Wei dan Frost memainkan tugas penting dalam menaikkan reputasi badminton negara, terutama kejayaan dalam Sukan Olimpik Rio, tahun lalu.

"Ada objektif masing-masing dan ada haluan masing-masing. Saya harap mereka ketepikan ego masing-masing dan terus kembali kepada rancangan." katanya.

"Chong Wei mempunyai niat ikhlas untuk membantu Frost melahirkan pemain-pemain perseorangan. Saya rasa isu itu bukanlah isu yang besar."

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, bersikap enggan campur tangan sambil melahirkan keyakinan BAM mampu menyelesaikannya.

"Ya, saya sudah berbincang dengan (pemangku presiden BAM, Tan Sri Mohamed) Al Amin (Abdul Majid) melalui telefon pagi tadi, juga dengan Chong Wei.

"Ia dalam pemerhatian BAM dan badan itu akan selesaikan masalah itu," katanya.

Terdahulu, Khairy dan Norza menghadiri majlis penyerahan Jalur Gemilang kontinjen negara ke Sukan Asia musim sejuk di Sapporo, Jepun, bermula 19 Februari ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen

Baca Selanjutnya

Konflik Chong Wei, Frost makin tegang

By Public Anonymous User 8 Februari 2017. 12.24 PM