Berdasarkan aspek sains sukan, kemerosotan prestasi beregu utama negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, adalah dijangkakan ketika faktor psikologi turut memainkan peranan.

Kejayaan gandingan itu setahun lalu adalah sesuatu yang menakjubkan, begitu juga apa yang sedang terjadi kepada mereka ketika ini.

Bagaimanapun, pelbagai pihak terlepas pandang faktor sukar untuk atlet elit mengekalkan prestasi di peringkat tertinggi bagi tempoh berpanjangan.

"Bagi saya, apa yang berlaku sekarang ini, prestasi mereka sedang mengalami penurunan. Itu adalah corak yang lazim sebenarnya.

"Kalau kita lihat pemain China pun, mereka mengalami fasa seperti ini. Mereka akan berada di atas dan kemudian menurun.

"Mungkin untuk beregu kita (V Shem-Wee Kiong), tambahan kepada kekangan ini ialah dengan pencapaian mereka yang begitu tinggi di peringkat Sukan Olimpik," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi.

Dalam tempoh sembilan bulan, barisan kejurulatihan serta pakar psikologi yang ditugaskan untuk skuad negara atas permintaan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sepatutnya sudah mengenal pasti masalah yang dihadapi pemain elit negara, bukan sahaja V Shem dan Wee Kiong.

Ini juga adalah cabaran yang dihadapi ISN dalam menyediakan perkhidmatan pakar yang lebih efektif pada masa akan datang.

"Kalau betul ia melibatkan aspek psikologi, masalah itu telah dilihat dalam latihan lagi. Jadi, pakar akan mengenal pasti masalah itu ketika latihan, bukannya dalam pertandingan.

"Sebab itu, kadang-kala kita suka berpandangan mudah, maknanya kalau menang tiada masalah psikologi tetapi apabila kalah ia berkaitan isu mental," tambahnya.

Pencapaian V Shem-Wee Kiong selepas Sukan Olimpik Rio 2016:

Ranking dunia: 7

Juara
• Juara Terbuka Denmark 2016
• Siri Super Akhir Dubai 2016

Suku akhir
• Seluruh England, Terbuka India 2017
• Terbuka Malaysia, Piala Sudirman 2017

Pusingan kedua
• Kejohanan Asia 2017
• Kejohanan Dunia 2017

Pusingan Pertama
• Terbuka Malaysia 2017
• Terbuka Australia 2017