Kemenangan Jin Wei gagal bantu Malaysia

Oleh Staff Writer 22 Mei 2018 14406
Kemenangan Jin Wei gagal bantu Malaysia
Hasrat Malaysia untuk cuba melakar kejutan ke atas China tidak kesampaian apabila tewas 4-1 dalam aksi kedua saingan Kumpulan D, Piala uber 2018 di Impact Arena, Bangkok, Thailand, sebentar tadi.

Setelah tewas 3-2 di tangan Indonesia semalam, Malaysia mengekalkan posisi perseorangan pertama buat Soniia Cheah, namun pemain berusia 24 tahun itu gagal menyaingi pemain nombor lima dunia, Chen Yufei, apabila tewas 21-18, 20-22, 18-21.

Kebangkitan yang cuba dilakukan dalam perlawanan kedua menerusi acara beregu gagal dipersembahkan gandingan negara, Goh Yea Ching-Soong Fie Cho setelah tidak mampu mengekang cabaran Chen Qingchen/Jia Yifan, sekali gus tunduk 21-9, 21-8.

Pertemuan ketiga menyaksikan pemain berusia 18 tahun, Goh Jin Wei, menjadi pertaruhan selaku perseorangan kedua negara untuk menyalakan sedikit harapan buat Malaysia ketika menentang He Bingjiao.

Jin Wei bermula garang apabila memenangi set pertama 21-9, namun Bingjiao menyamakan kedudukan dalam set kedua dengan keputusan 21-17, sebelum pemain kebangsaan itu pantas mengekang kebangkitan lawan untuk memberikan mata pertama buat negara menerusi keputusan 21-13 dalam tempoh 18 minit.

Bagaimanapun, kejayaan Jin Wei itu menjadi kemenangan tunggal buat Malaysia dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan, selepas gandingan Vivian Hoo-Chow Mei Kuan tewas 21-19, 21-15 di tangan Huang Dongping-Yu Zheng manakala Lee Ying Ying gagal mengatasi Gao Fangjie dengan keputusan 21-16, 21-15.

Malaysia akan melengkapkan saingan Kumpulan D bertemu Perancis  esok dan kemenangan akan mengelakkan skuad negara daripada menamatkan kempen kali ini di tangga tercorot.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen