Positif dalam kesederhanaan menjadi sentimen terbaik bagi menggambarkan prestasi pertengahan musim buat kem badminton negara.

Kejayaan Datuk Lee Chong Wei memenangi pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan Terbuka Malaysia buat kali ke-12 menjadi antara elemen yang berupaya dibanggakan skuad negara.

Perkembangan positif juga dapat dilihat dalam peningkatan prestasi buat bakat perseorangan muda seperti Lee Zii Jia.

Bagaimanapun, keupayaan beregu utama, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, masih menjadi tanda tanya tetapi sudah menampakkan nilai positif dan memperbaiki keserasian antara mereka.

"Kemenangan Chong Wei dalam Terbuka Malaysia tahun ini adalah sesuatu yang menakjubkan jika mengambil kira faktor usianya.

"Jika sebelum ini timbul tanda tanya mengenai hari-hari terakhirnya bergelar pemain, kini dia dijangka terus membarisi skuad negara sehingga Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Ini adalah hasil daripada sokongan yang tidak putus-putus diberikan kepadanya ketika mengalami penurunan prestasi," kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria.

Ketika ini, BAM masih belum mendedahkan sebarang sasaran pingat di pentas Sukan Asia 2018, bulan depan.

Justeru, timbul persoalan mengenai kemampuan badan induk itu untuk terus bersandarkan pada prestasi Chong Wei dalam membantu kempen Malaysia setiap kali turun beraksi.

"Kami masih dalam proses penilaian dan akan menyerahkannya kepada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) yang baru di bawah Datuk Ng Chin Chai untuk berbincang dengan jurulatih dan menilai kedudukan Malaysia.

"Kami juga sedar kali ini agak berbeza kerana kami tidak menghantar sebahagian daripada skuad wanita, jadi jika dapat meraih satu emas pun, ia mampu mencetuskan kebangkitan baru buat Malaysia."