Skuad negara perlu menyerlahkan sesuatu yang luar biasa untuk menempah kelayakan secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas memandangkan sebahagian besar negara berstatus pilihan menyenaraikan barisan terbaik bagi menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, bulan depan.

Malaysia perlu sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir di Alor Setar untuk merebut tiket automatik ke pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber di Bangkok, Thailand, Mei depan.

China yang memiliki kelebihan untuk layak menerusi ranking dunia tidak akan menghantar bintang utama seperti Chen Long dan Lin Dan, justeru perkembangan itu pasti disambut baik skuad negara.

Bagaimanapun, seteru lain seperti Indonesia, Korea Selatan, Jepun, malah Taiwan, mengambil keputusan untuk mengelak sebarang risiko dengan menampilkan skuad terbaik.

"Tiga atau empat negara yang akan menghantar pasukan pelapis terdiri daripada China, India dan Thailand.

"Mengikut senarai yang dihantar, pasukan-pasukan lain akan menurunkan pemain-pemain terbaik mereka.

"Pihak Badminton Asia gembira kerana setiap pasukan mengambil serius kejohanan ini," kata Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Kenny Goh.

Selepas kemas kini ranking dunia, Malaysia bakal menghadapi kempen kelayakan sebagai pilihan ketujuh. Ini bermakna skuad negara berkemungkinan besar diundi sekumpulan dengan Indonesia dan Jepun.

"Disebabkan Malaysia di ranking ketujuh, Malaysia berpeluang bertemu empat pasukan teratas, sama ada Jepun, Indonesia, China atau Taiwan.

"Masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang ramalan tetapi oleh kerana China menggabungkan pemain pelapis dan senior, Malaysia berpeluang bertemu dengan mereka," ujar Kenny lagi.