Harapan masih ada buat skuad badminton remaja negara untuk membawa pulang pingat biarpun skuad kali ini tidak mempunyai aura luar biasa tanpa kelibat pemain di ranking terbaik menjelang aksi Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kazan, Russia bulan depan.

Sejak ratu perseorangan wanita, Goh Jin Wei, beralih ke kategori senior, pengendali negara, Kwan Yoke Meng, mengakui sukar untuk mencari pemain yang menyinar di peringkat remaja.

Bagaimanapun, Yoke Meng masih optimis barisan yang disenaraikan di Kazan mampu mencipta kejutan, khususnya menerusi beregu lelaki, Ooi Jhy Dar-Yap Roy King, yang sebelum ini sudah menggenggam dua kejuaraan antarabangsa peringkat remaja, begitu juga dalam beregu campuran yang turut dibarisi Roy King bersama Gan Jing Err.

"Keputusan terbaik adalah sasaran setiap kali kami menghantar pemain dalam mana-mana kejohanan. Saingan di Russia turut sama dan saya menyasarkan dua pingat emas," kata Yoke Meng.

Undian dalam acara berpasukan campuran juga menampakkan tanda positif untuk skuad kebangsaan setelah diundi bersama tuan rumah, Russia, Kanada, Macau dan Hong Kong.

Malaysia pernah membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Yogyakarta, Indonesia, setelah tewas kepada juara 13 kali, China, dalam final.

"Kami akan cuba nasib dalam saingan berpasukan untuk sekurang-kurangnya ke pusingan suku akhir."