Pemain muda negara, Lee Zii Jia, tidak memandang mudah saingan, apatah lagi meletakkan harapan tinggi, untuk menjuarai Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 biarpun menjadi pilihan utama.

Sebaliknya, pemain berusia 20 tahun itu menganggap kejohanan itu sebagai satu latihan menjelang Kejohanan Terbuka Jerman yang dijadual bermula minggu depan.

"Saya tidak mahu terlalu fikirkan untuk menjadi juara, saya hanya mahu lakukan yang terbaik dan sebelum ini juga saya telah katakan kejohanan ini adalah satu latihan sebelum ke Jerman," katanya.

Dalam perlawanan pusingan peringkat utama perseorangan lelaki hari ini, Zii Jia mudah menewaskan pemain junior, Kok Jin Hong, 21-19, 21-17.

Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 berlangsung di Arena Badminton Perak sejak kelmarin.

Ditanya mengenai prestasinya hari ini, pemain ranking 27 dunia itu menganggap ia satu peluang untuk memperbaiki permainannya.

"Perlawanan ini banyak mengajar kami berdua sebab ia menyedarkan saya. Kejohanan ini bukan sesuatu yang mudah dan pusingan akan datang saya akan lebih fokus," katanya.

Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 adalah penampilan keempat pemuda berasal dari Alor Setar itu, yang menjadi naib juara selepas tewas kepada Iskandar Zulkarnain Zainuddin tahun lalu.

-- BERNAMA