Pasangan badminton beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, bukan sahaja mencipta kejutan menyingkirkan juara bertahan Kejohanan Badminton Kebangsaan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong di peringkat separuh akhir hari ini, namun ia juga merupakan kemenangan pertama mereka ke atas pasangan profesional itu sejak 2016.

Di atas kertas, V Shem-Wee Kiong sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk menumbangkan Yew Sin-Ee Yi memandangkan empat pertemuan sebelum ini berpihak kepada mereka.

Namun, Yew Sin-Ee Yi, yang merupakan juara edisi 2016, mempamerkan aksi terbaik mereka untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum melakar kemenangan 13-21, 27-25, 24-22.

"Kami sememangnya terlalu menginginkan kemenangan memandangkan kami mahu memberikan saingan kepada mereka.

"Kami tewas dalam kesemua perlawanan sebelum ini, jadi kami memikirkan strategi terbaik untuk menewaskan mereka hari ini," kata Yew Sin

"Mereka bermain baik hari ini dengan memaparkan pertahanan mantap.

"Kami keletihan kerana beraksi agresif, jadi mereka telah melakukan sesuatu yang hebat," kata V Shem.

Menanti Yew Sin-Ee Yi adalah pasangan muda meningkat naik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang turut melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama.

Aaron-Wooi Yik menumbangkan Lee Zian Yi-Lim Zhen Ting 21-18, 21-16.

"Setiap pasangan pasti mahu bergelar juara kebangsaan.

"Namun, kami akan memberikan yang terbaik dalam aksi final esok," kata Aaron.