Motivasi untuk bergelar juara kebangsaan buat kali kedua berturut-turut menjadi azimat buat beregu lelaki nombor satu negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, biarpun terpaksa menumbangkan satu persatu bekas rakan sepasukan dalam Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 di Arena Badminton Perak, Ipoh, semalam.

V Shem-Wee Kiong jelas berada dalam prestasi terbaik untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dalam edisi lalu setelah menyingkirkan satu lagi pasangan profesional, Tan Boon Heong, yang bergandingan dengan Chan Peng Soon 21-18, 21-15 semalam.

Menanti mereka dalam separuh akhir hari ini ialah bekas pelapis dalam kem kebangsaan, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Ironinya, Wee Kiong pernah bergandingan dengan Yew Sin dalam edisi 2016 sehingga dinobatkan sebagai juara, selain Wee Kiong turut pernah meraih gelaran kebangsaan pada 2012 dan 2013 di samping How Thien How.

"Kami menyasarkan untuk menang tanpa mengambil kira bahawa lawan yang dihadapi adalah pemain kebangsaan atau profesional.

"Pencapaian yang lepas sudah berlalu, kami cuma memberi fokus kepada aksi esok (hari ini)," kata Wee Kiong.

Biarpun gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir, Peng Soon masih mempunyai harapan dalam acara terasnya, iaitu beregu campuran bersama Goh Liu Ying yang bakal menentang Tan Kian Meng-Peck Yen Wei.

Kali terakhir pasangan beregu campuran itu bergelar juara kebangsaan adalah pada edisi 2011 sebelum Liu Ying dihimpit beberapa siri kecederaan.

Tahun lalu, Peng Soon bergandingan dengan Chow Mei Kuan, namun perjalanan mereka terhenti dalam separuh akhir.

"Kami jarang berpeluang untuk mengadakan latihan dengan beregu campuran yang lain sebab kami sering berlatih dengan Wee Kiong-V Shem.

"Ini masa terbaik untuk kami mendapatkan pertarungan yang baik," kata Peng Soon.