Pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir beregu lelaki Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 di Arena Badminton Perak, Ipoh.

Beregu utama negara itu mudah melepasi halangan beregu veteran, Chan Peng Soon-Tan Boon Heong, daalam suku akhir petang tadi.

Kecuali sedikit tentangan dalam set pertama yang menyaksikan V Shem-Wee Kiong dikerah keringat sebelum menang 21-18, set kedua nyata lebih mudah buat pasangan itu yang menang 21-15.

Dalam separuh akhir petang esok, V Shem-Wee Kiong akan bertemu pilihan ketiga, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Pasangan itu melangkah ke separuh akhir selepas menundukkan Mohd Syawal Mohd Ismail-Mohd Ridzuan Shah 21-9, 21-7.

Turut mara ke separuh akhir ialah pilihan kedua, Aaron Chia Teng Fong -Soh Wooi Yik yang mengatasi Chang Yee Jun-Lwi Sheng Hao 21-13, 21-16. Mereka akan bertemu Lim Jian Yi-Lim Zhen Ting.

Sementara itu, kategori wanita menyaksikan pasangan pilihan ketiga, Anna Cheong-Lim Chiew Sien, dan pilihan keempat, Ng Qi Xuan-Desiree Siow, mara ke separuh akhir.

Mereka disertai dua pasangan bukan pilihan, Yap Rui Chen-Yap Yee dan Cheah Yee See-Teoh Mei Xing.

Pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Tan Kian Meng-Peck Yen Wei, Hoo Peng Ron-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Lai Pei Jing, juga layak ke separuh akhir.