Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, menganggap kekalahan mengejut Lee Zii Jia dalam pusingan kedua Kejohanan Kebangsaan 2019 sebagai pengajaran terbesar dalam kariernya agar tidak memandang mudah cabaran pemain tidak ternama.

Kekalahan Zii Jia kepada pemain ranking ke-397 dunia, Datu Mohd Shah Eizlan Sadik, seakan-akan satu tamparan memandangkan dia diramalkan mudah untuk mengungguli kejohanan kali ini berdasarkan dua faktor -- ketiadaan juara bertahan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, serta prestasi semasa Zii Jia yang kini mengatasi ranking jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei dan Liew Daren.

Misbun kelihatan tenang menerima kekalahan anak didiknya itu dan berharap ia mampu menjadi pengajaran berguna bahawa nama besar bukan penentu buat seseorang pemain menguasai gelanggang.

"Ini merupakan satu pengajaran buat Zii Jia. Namanya sudah besar tetapi prestasi masih lagi kurang konsisten. Saya mengambil perkara positif daripada keputusan ini dan sudah memiliki jalan mengatasi masalah ini," kata Misbun.

Dalam saingan beregu campuran, pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang diletakkan sebagai pilihan pertama tidak menghadapi masalah untuk menyingkirkan bekas rakan sepasukan, Goh Soon Huat-Cheah Yee See, 21-19, 25-23.

Turut sama melangkah ke separuh akhir adalah perseorangan wanita, Goh Jin Wei, yang mudah menundukkan lawan dari Selangor, N. Saranya, 21-11, 21-9.

"Saya masih belum berpuas hati kerana kerap melakukan kesilapan mudah dan mahu memperbaikinya untuk perlawanan seterusnya," kata Jin Wei.