Bekas juara kebangsaan dua tahun berturut-turut, Lim Chi Wing, terdesak untuk membuktikan dirinya masih relevan dalam skuad kebangsaan dengan berusaha untuk kembali merebut mahkota kejuaraan itu.

Kejohanan Badminton Kebangsan di Ipoh bermula 18 Februari ini akan menjadi kejohanan pertama yang disertai Chi Wing tahun ini.

Dia pernah dicanang sebagai pengganti Datuk Lee Chong Wei selepas menjuarai Kejohanan Kebangsaan pada 2016 dan 2017.

Namun, dia masih gagal mengecapi sebarang kemahsyuran di peringkat antarabangsa dengan ranking dunianya kini kian terperosok di tangga ke-182.

"Kejohanan Kebangsaan merupakan kejohanan pertama yang akan saya sertai tahun ini.

"Saya sudah lama bersiap sedia untuk menghadapi kejohanan itu," katanya.

Chi Wing gagal mempertahankan kejuaraan itu tahun lalu selepas terkandas dalam pusingan kedua.

Dia mengakui cabaran edisi kali ini lebih sukar ekoran peningkatan mendadak yang dipamerkan barisan pemain muda.

"Semua pemain muda sedang meningkat dengan baik.

"Mereka mampu untuk memberikan saingan kepada pemain senior seperti kami.

"Saya perlu berhati-hati untuk menghadapi setiap lawan," tambahnya.