Cabaran gandingan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Muazzam Danish Hanafi-Muhammad Haikal Nazri, dalam acara beregu lelaki Kejohanan Badminton Kebangsaan B-21 di Kuala Terengganu, tersekat dalam pusingan kedua, hari ini.

Gandingan itu tumpas kepada pilihan utama tuan rumah, Muhamad Amar Mohd Sani-Muhamad Amir Mohd Sani, 19-21, 22-20, 16-21 dalam aksi selama sejam.

Kekalahan itu, begitupun, ditebus pilihan kelima kejohanan, Ching Kai Feng-Loo Bing Kun, dan pilihan kelapan, Ooi Jhy Dar-Yap Roy King, yang menewaskan lawan masing-masing.

Sementara itu, pilihan utama perseorangan lelaki, Faiz Rozain, tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.

Pemain naungan Akademi Sports Affairs di bawah bimbingan Rashid Sidek itu mengalahkan Lee Shun Yang 21-13, 21-16 untuk bertemu wakil BAM, Goh Wai Yap, esok.

Nasib berbeza dialami pilihan kedua dari Selangor, K. Jothiswaran, yang tunduk kepada pemain Sabah, Kok Chen Wei, 17-21, 21-18, 19-21.

Acara perseorangan wanita pula menyaksikan wakil Pulau Pinang, Kong Yi Jin, menepati status selaku pilihan utama selepas menewaskan Oh Jia Qi 21-12, 21-8.

Kemaraan itu gagal diteruskan pilihan kedua, Ho Lo Ee, juga dari Pulau Pinang, yang dikejutkan K. Radhakrishnan, 11-21, 18-21.