Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, enggan meraikan penampilan sulungnya dalam Kejohanan Badminton Dunia sambil menegaskan aspirasinya adalah untuk menawan setiap kejohanan yang ditawarkan, satu hari nanti.

Baginya, layak ke suku akhir dalam kejohanan di Basel, Switzerland itu bukanlah satu bentuk kejayaan, sebaliknya sebagai pengajaran peribadi.

Pemain berusia 21 tahun itu menampilkan aksi terpuji sebelum tewas kepada pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota, semalam.

Dia akur setiap kelemahannya itu akan dijadikan pengajaran untuk kembali sebagai pencabar kejuaraan dalam edisi yang akan datang.

"Bagi saya, memang tidak boleh berpuas hati sebab nampak masih jauh lagi untuk kejar dia (Momota).

"Memang sasaran saya bukan untuk berpuas hati di tahap ini sahaja.

"Saya mahu jadi pemain nombor satu, suatu hari nanti.

"Masih jauh lagi perjalanan saya," katanya.

Baki kejohanan musim ini akan diteruskan Zii Jia sebagai medan untuk memburu kedudukan ranking ke-10 terbaik dunia.

Ia di samping kemahuannya untuk menutup kalendar 2019 dengan satu gelaran utama bagi membuktikan statusnya sebagai taruhan terbaik negara.

"Dalam setahun ini, sekurang-kurangnya saya perlu ambil (menjuarai) satu gelaran.

"Kita tidak boleh mengharapkan banyak sangat sebab saya sendiri tidak fikir banyak (tentang kejayaan besar).

"Apa yang sudah berlaku perlu diterima kesemuanya.

"Dengan itu, barulah saya boleh meningkat," tambahnya.