Lee Zii Jia tiada pilihan selain menjadikan tekanan menghadirkan sesuatu yang luar biasa dalam Kejohanan Badminton Dunia 2019 sebagai satu inspirasi ketika perseorangan lelaki Malaysia ada tradisi istimewa apabila beraksi di pentas itu, bermula esok.

Itu pandangan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, yang merupakan perseorangan lelaki pertama Malaysia untuk merangkul pingat dalam Kejohanan Dunia pada 2003.

Kejayaan Datuk Lee Chong Wei yang layak ke tiga final berdasarkan catatan rekod rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) juga merupakan satu pencapaian unik.

Dalam edisi lalu, perseorangan profesional, Liew Daren, mencetuskan sensasi apabila muncul perseorangan ketiga dari Malaysia untuk membawa pulang pingat selepas layak ke separuh akhir.

Atas dasar itu, Zii Jia sebagai perseorangan nombor satu negara memiliki tanggungjawab untuk mengikut jejak langkah mereka.

"Saya berasakan Zii Jia perlu memikul tanggungjawab membawa nama negara ke peringkat paling tinggi dalam Kejohanan Dunia kali ini.

"Tetapi dalam masa sama, dia perlu menumpukan kepada permainannya dan langkah untuk memperbaiki kelemahannya," kata Choong Hann.

Selaku pengarah kejurulatihan untuk kempen kali ini, dia turut berkongsi perspektif cabaran pemain dalam Kejohanan Dunia.

Malah, dia melihat cabaran skuad negara sebagai satu kontinjen besar di Basel, Switzerland, meskipun diwakili pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan kudrat profesional.

"Nama Malaysia bukan sahaja dipikul oleh barisan pemain di bawah naungan BAM, malah setiap pemain profesional yang turut mengambil bahagian dan mereka memiliki sasaran yang sama di pentas ini," tambahnya.