Kejohanan Dunia: Zii Jia, Liew Daren lepasi ujian awal 

Oleh Staff Writer 19 Ogos 2019 4239
Kejohanan Dunia: Zii Jia, Liew Daren lepasi ujian awal 
Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, menyifatkan penampilan sulung dalam Kejohanan Dunia sebagai mimpi menjadi kenyataan susulan kemenangan pusingan pertama ke atas wakil Brazil, Ygor Coelho.

Dalam kempen di Basel, Switzerland, itu sebentar tadi, pemain berusia 21 tahun itu dipaksa bermain bermati-matian sebelum bangkit dengan lebih selesa untuk merekodkan kemenangan 21-17, 21-15. 

"Perasaannya berbeza sebaik melangkah masuk ke gelanggang. 

"Ini kali pertama saya bersaing dalam kejohanan sebesar ini dan sudah mula berdepan pertarungan getir. 

"Saya akan menentang wakil China, Lu Guang Zu, esok. Jadi, saya perlu berehat dan melakukan persiapan," ujar pemain ke-13 dunia tersebut selepas bertarung selama 36 minit. 

Sementara itu, seorang lagi wakil perseorangan lelaki negara, Liew Daren, daripada kem profesional turut langkah kanan.

Dia, yang mencetuskan sensasi layak ke separuh akhir Kejohanan Dunia edisi Nanjing 2018, memulakan kempen menentang bakat meningkat naik Thailand, Khosit Phetpradab.

Daren hampir terperangkap beberapa kali, pertama sekali apabila membenarkan Khosit menyamakan kedudukan 19-19 selepas mendahului 19-17.

Keduanya, ketinggalan 8-11 dalam set berikutnya sebelum bangkit agresif untuk menoktahkan kemenangan straight set 21-19, 21-13 dalam tempoh 45 minit.

"Permulaan set pertama agak memeningkan saya kerana seperti yang saya katakan sebelum ini, keyakinan saya di tahap rendah.

"Dua mata yang diraih ketika terikat 19-19 dalam set pertama amat penting. Tetapi kemenangan set pertama itu menjadi pemangkin semangat buat saya.

"Saya agak terburu-buru dalam set kedua sebelum saya disuruh bertenang sehingga mendapat rentak," kata pemain yang menduduki ranking ke-22 dunia itu. 

PUSINGAN KEDUA (SELASA)

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying lwn Joshua Hurlburt-Yu - Josephine Wu
Goh Soon Huat-Shevon Lai lwn Takuro Haki-Wakana Nagahara

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen