Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, mempamerkan kekuatan mental pada tahap maksimum untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia apabila mengekang kebangkitan wakil Jepun, Kenta Nishimoto, sebelum menang 21-15, 11-21, 22-20 dalam pusingan ketiga di Basel, Switzerland, sebentar tadi.

Selepas mempamerkan kebangkitan dalam pusingan kedua kelmarin, mengetepikan wakil China, Lu Guang Zu, 12-21, 21-14, 21-15, pemain kelahiran Kedah itu jelas lebih bersedia di permulaan saingan sewaktu turun menentang Nishimoto.

Walaupun aksi tampak sengit ketika permulaan set pertama, Zii Jia tampak lebih bijak menggunakan setiap ruang yang diberikan lawan -- yang hadir selaku pilihan kelapan -- apabila mendahului 16-13 sebelum akhirnya mengungguli saingan pertama 21-15.

Sedar tiada pilihan selain menang dalam set kedua untuk mengheret lawan ke saingan penentuan, Nishimoto meningkatkan tempo permainan dan percaturan itu dilihat berhasil apabila meraih kelebihan 16-3 dan kecemerlangan terus dipamerkan pemain berusia 24 tahun itu apabila menang 21-11.

Aksi set ketiga jelas lebih sengit tatkala kedua-dua pemain tidak menunjukkan sebarang tanda kepenatan sehingga pemenang terpaksa ditentukan menerusi dius -- selepas Nishimoto mengejar kelebihan 20-17 yang dimiliki lawannya -- namun Zii Jia lebih unggul untuk mengesahkan slot ke suku akhir menerusi keputusan 22-20.

Menanti Zii Jia dalam separuh akhir adalah rakan senegara Nishimoto, Kento Momota, selepas pilihan utama kejohanan itu mengatasi halangan wakil India, H S Prannoy, 21-19, 21-12.

Sementara itu, saingan beregu wanita menyaksikan gandingan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen kempunan untuk mara ke suku akhir setelah tewas di tangan wakil China, Du yue-Li Yin Hui.

Meskipun mempamerkan kebangkitan dalam set kedua, Vivian dan Cheng Wen jelas tidak mampu mengatasi lawan sebelum tewas 15-21, 21-11, 8-21 dalam pusingan ketiga.