Penampilan kedua dalam Kejohanan Badminton Dunia tidak lagi menjadi sekadar impian seorang anak muda buat pemain beregu lelaki, Soh Wooi Yik, tetapi menjadi aspirasinya untuk menamatkan penantian badminton tanah air.

Berikutan mendapat laluan percuma dalam pusingan pertama, mereka bakal berdepan di antara pemenang, George Arun-Shukla Sanyam dan Takuto Inoue-Yuki Kaneko, Selasa depan (waktu tempatan).

Wooi Yik, yang membentuk gandingan utama negara di samping Aaron Chia, membuat penampilan sulung mereka dalam edisi di Nanjing, China, tahun lalu.

Tanpa diduga, mereka yang berada luar daripada kelompok pilihan layak ke suku akhir dengan menewaskan lawan lebih berpengalaman.

Bagaimanapun, dia menawarkan elemen kematangan apabila berbicara suasana dia dalam menghadapi kempen kali ini.

"Tahun lalu kami hadir dengan status 'underdog' tetapi ranking kami sudah meningkat sekarang (nombor 10 dunia).

"Kami teruja untuk menghadapi kejohanan kali ini sesudah layak kali pertama tahun lalu yang merupakan impian setiap atlet ," katanya ketika menjalani persiapan akhir di venue pertandingan, hari ini.

Sejak bergelar naib juara Seluruh England, Mac lalu, prestasi Wooi Yik-Aaron mengalami turun naik.

Namun, dia menegaskan apa sahaja isu yang membelenggu mereka sudah diselesaikan sebelum menjejakkan kaki di Basel, Switzerland.

"Kami tidak anggap ia sebagai beban tetapi motivasi.

"Sejak Seluruh England, kami mungkin pernah kalah dalam beberapa kejohanan tetapi ia membuatkan kami lebih kuat lagi.

"Kejohanan Dunia hadir pada masa yang tepat, kami sudah mengatasi masalah (yang dihadapi)," katanya.